A Singapore press holdings portal

Singapore

Hisham Hasim
Berita Harian
Thursday, Aug 14, 2014

Singapore

Aktivis perintis gugur kerana barah paru-paru

Berita Harian | Hisham Hasim | Thursday, Aug 14, 2014

Allahyarham Haji Mohd Anis Tairan disolatkan di Masjid Kampung Siglap selepas Zuhur semalam. Dr Yaacob berharap bahawa legasi Allahyarham seperti generasi perintis yang lain harus diteruskan.

AKTIVIS masyarakat dan akar umbi, yang juga pengasas Masjid Kampung Siglap moden, Haji Mohd Anis Tairan, meninggal dunia di Hospital Besar Singapura (SGH) sekitar 7.25 pagi semalam akibat barah paru-paru.

Allahyarham, 82 tahun, yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Anis, berada di hospital sejak Rabu lalu, kata anak sulung beliau, Encik Mohd Affandi Mohd Anis, ketika ditemui wartawan semasa solat jenazah di Masjid Kampung Siglap selepas Zuhur semalam.

"Sejak seminggu lalu beliau ingin bertemu dengan saudara-mara dan rakan-rakannya. Suruh saya kumpulkan untuk menemukan mereka.

Mungkin beliau tahu masanya sudah tiba," kata Encik Affandi, 58 tahun, yang tinggal di Kuala Lumpur.

Allahyarham merupakan seorang guru pesara yang tidak asing di kalangan masyarakat setempat. Antara pencapaian beliau - menerima anugerah Bintang Bakti Masyarakat (BBM) pada 1987 dan Jasa Bakti Muis (2000) selain Tokoh Guru (Tg Malim) pada 2000.

Semasa hayatnya, Haji Mohd Anis aktif dalam kerja kemasyarakatan dan akar umbi, termasuk menjadi aktivis bahasa Melayu di sini seperti Asas '50 dan Majlis Pusat.

Beliau aktif di Masjid Kampung Siglap sejak 1985 dan berkhidmat di dalam lembaga pentadbir masjid (LPM) sehingga akhir hayatnya.

"Yang paling besar adalah sumbangan beliau kepada masjid baru ini. Berkat usahanya, masjid lama dapat dikekalkan sementara sebuah masjid baru tersergam indah didirikan bagi keperluan masyarakat Islam sekitarnya," kata mantan pengerusi LPM Masjid Kampung Siglap, Encik Mohd Khair Mohd Noor ketika ditemui semalam.

Walaupun dalam usia dan keadaan kesihatannya agak menurun, Allahyarham masih bergiat aktif dalam memakmurkan masjid, kata Ketua Eksekutif Muis, Haji Abdul Razak Maricar.

"Beliau telah mencetuskan gagasan untuk menubuhkan Pusat Tahfiz Darul Quran Singapura (DQS).

"Allahyarham telah menerajui usaha pungutan dana untuk membina semula Masjid Kampung Siglap setelah ia rosak akibat satu kebakaran pada Oktober 2009. Beliau juga menyumbang bakti dalam penulisan buku tentang sejarah Kampung Siglap dan Masjid Kampung Siglap - Kampungku Siglap," kata Haji Abdul Razak.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.