A Singapore press holdings portal

Singapore

Nur Adilah Mahbob
Berita Harian
Thursday, Jul 3, 2014

Singapore

Boleh tuntut MediShield Hayat di wad kelas tinggi

Berita Harian | Nur Adilah Mahbob | Thursday, Jul 3, 2014

WARGA Singapura yang memasuki wad kelas lebih tinggi atau hospital privet boleh tetap membuat tuntutan daripada MediShield Hayat, jelas Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, semalam.

Beliau juga berkata pemerintah bersedia bersikap fleksibel kepada mereka yang memerlukan bantuan tambahan meskipun setelah mendapat subsidi bagi premium skim insurans nasional itu.

Encik Gan menjelaskan ini ketika ditemui media di majlis menandakan hampir siapnya pembinaan bangunan kendalian bersama Hospital Besar Changi (CGH) dan Hospital Masyarakat St. Andrew (SACH) di Simei semalam.

Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) menerima laporan penuh dan saranan Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat, yang akan dilaksana hujung tahun depan dan menyertakan semua warga Singapura, termasuk yang mempunyai penyakit sedia ada.

Encik Gan berkata terdapat kekeliruan sama ada MediShield Hayat memberi perlindungan bagi wad lebih tinggi atau tidak.

"MediShield Hayat direka berdasarkan struktur kos wad B2 dan C kerana ia rata-rata bertujuan membantu pesakit bersubsidi. Tetapi, jika pesakit dimasukkan ke wad A dan B1 atau di hospital privet, mereka masih boleh membuat tuntutan daripada MediShield Hayat," terang Encik Gan.

Namun, tuntutan insurans itu akan ditetapkan pada tahap manfaat bagi wad B2 dan C, dan bayaran selebihnya perlu dibiayai atau ditokok pesakit.

Beliau juga menambah bahawa mereka yang ingin perlindungan lebih luas atau had tuntutan lebih tinggi merangkumi wad kelas tinggi atau hospital privet biasanya akan mengambil Pelan Perlindungan Bersepadu (IP) yang ditawarkan syarikat insurans privet.

Beberapa jenis subsidi dan sokongan berjumlah $4 bilion akan disediakan pemerintah sepanjang lima tahun pertama pelaksanaan MediShield Hayat bagi membantu warga Singapura membiayai premiumnya.

Subsidi yang diberi bergantung pada beberapa kriteria, termasuk gaji, saiz keluarga, dan nilai tahunan (AV) rumah, iaitu hasil setiap tahun sekiranya rumah disewakan.

Pada masa sama, semua warga, tidak kira usia dan status, akan mendapat subsidi peralihan selama empat tahun bagi membantu mereka menyesuaikan diri kepada kenaikan premium.

Encik Gan berkata semalam bahawa kriteria itu memastikan subsidi tertumpu pada warga Singapura yang benar-benar memerlukan.

Namun, mereka yang tidak mampu membayar premium walaupun setelah mendapat subsidi boleh memohon bantuan tambahan, dan permohonan akan dinilai mengikut setiap kes.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.