A Singapore press holdings portal

Singapore

Hisham Hasim
Berita Harian
Tuesday, Jul 1, 2014

Singapore

Cergaskan Anggota SAF secara lebih mudah

Berita Harian | Hisham Hasim | Tuesday, Jul 1, 2014

Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen

ANGKATAN Bersenjata Singapura (SAF) sedang meninjau cara untuk memudahkan ujian kecekapan jasmani perseorangan (IPPT) tanpa menjejas taraf kecergasan seseorang, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.

Dalam wawancara sempena Hari SAF hari ini, Dr Ng berkata SAF telah menjalankan kajian terperinci ke atas pasukan-pasukan tentera negara asing untuk menilai bentuk taraf yang sesuai dan sewajarnya supaya mengekalkan tahap kecergasan anggota tentera.

Buat masa ini, IPPT merangkumi lima stesen ujian - sit-up, chin-up, shuttle run, standing broad jump dan larian sejauh 2.4 kilometer.

"Bolehkah kita capai tahap kecergasan tinggi dengan jumlah stesen ujian kecekapan yang kurang, daripada lima stesen yang ada sekarang? "Kami adalah antara segelintir pasukan tentera yang menggunakan lima stesen ujian. Yang lain gunakan tiga stesen ujian, ada yang lebih, tapi majoriti gunakan ujian yang lebih mudah kerana ia lebih mudah dilaksanakan dan melatih.

"Justeru pihak tentera sedang dalam fasa terakhir untuk menimbang sama ada kami boleh mengadakan ujian yang lebih mudah," kata Dr Ng.

Namun sebarang perubahan tidak akan menjejas tahap kecergasan anggota, kerana "kami perlukan SAF yang cergas, dan anggota NS yang cergas," jelas Dr Ng lagi, sambil menambah SAF akan mengumumkan perincian mengenainya dalam beberapa bulan lagi.

Bulan lalu, pemerintah telah menerima saranan yang dibentangkan Jawatankuasa bagi Memperkukuh Perkhidmatan Negara (CSNS).

Antara saranan tersebut termasuk memberi lebih masa dan kelonggaran bagi Anggota Perkhidmatan Negara (NS) memenuhi syarat IPPT.

CSNS menyarankan agar tempoh IPPT dan Latihan Persiapan IPPT dilanjutkan kepada setahun, berbanding sembilan bulan sekarang.

Jawatankuasa itu turut menyarankan agar jumlah insentif yang diberi kepada anggota NS yang mencatat keputusan IPPT cemerlang dinaikkan $100 kepada $500 bagi mereka yang meraih pingat emas, $300 bagi pingat perak dan $200 bagi mereka yang lulus.

CSNS, yang ditubuhkan pada Mei tahun lalu, ditugaskan menyarankan langkah bagi memastikan sokongan yang diberi anggota NS dan orang awam kekal tinggi.

Antara perubahannya, mulai hari ini, hanya anggota NS yang ingin ke luar negara bagi tempoh melebihi 14 hari dan kurang daripada enam bulan perlu memaklumkan pada pihak berkuasa.

SAF juga melancarkan skim baru untuk menarik lebih ramai Pakar Tentera (ME). Dipanggil Skim Pertukaran Kepakaran (Expertise Conversion Scheme), ia ingin memanfaatkan kepakaran anggota kerahan perkhidmatan negara (NS) dalam bidang-bidang seperti guaman, perubatan, kejuruteraan dan psikologi.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.