A Singapore press holdings portal

Singapore

Nazry Mokhtar
Berita Harian
Monday, Jun 23, 2014

Singapore

Iktibar daripada perdebatan isu CPF

Berita Harian | Nazry Mokhtar | Monday, Jun 23, 2014

ISU Tabung Simpanan Pekerja (CPF) kini hangat dibincangkan. Namun, setakat manakah pengetahuan kita tentang skim simpanan wajib ini?

Berikut tiga soalan ringkas menguji pengetahuan anda.

Soalan 1: Jumlah Minimum akan dinaikkan lagi mulai 1 Julai tahun depan. Kenaikan itu adalah: a) Daripada $155,000 kepada $162,000 b) Daripada $148,000 kepada $155,000 c) Belum lagi ditetapkan.

Soalan 2: Anda boleh mengikrarkan rumah anda yang dibeli menggunakan CPF bagi memenuhi sehingga ......... peratus daripada Jumlah Minimum. a) 25 b) 50 c) 100.

Soalan 3: Anda boleh tetap mengeluarkan sejumlah wang walaupun tidak memenuhi syarat Jumlah Minimum pada usia 55 tahun. Jumlah itu adalah: a) $5,000 b) $10,000 c) tidak sesen pun (Jawapannya adalah 1c, 2b dan 3a).

Bagi anda yang menjawab dengan betul, baguslah. Bagi anda yang gagal, usah risau. Saya pasti ramai lagi yang tidak tahu tentang perincian skim ini. Walaupun telah diperkenalkan pada 1955, skim CPF masih mengelirukan sesetengah orang.

Sebagai wartawan, saya sendiri mendapati sukar mengingati perincian skim yang agak rumit ini. Manakan tidak.

Walaupun tujuan asal penubuhannya kekal sama, skim CPF telah menjalani banyak perubahan sejajar dengan sekitaran dan keperluan kita yang berubah. Ini termasuklah pengenalan skim Medisave pada 1984, Jumlah Minimum (1987), MediShield (1990), pelaburan CPF (1997) and CPF Life (2008).

Yang terbaru ialah skim MediShield Hayat yang bertujuan membantu menampung kos perubatan sepanjang hayat.

Jadi, kita kenalah luangkan masa memahami skim-skim itu dengan teliti demi mengelakkan kekeliruan dan salah faham. Sebaiknya, usahlah cepat bersangka buruk dan membuat andaian atau dakwaan melulu yang tidak berlandaskan fakta.

Pada masa sama, adalah tidak munasabah bagi kita berdiam diri tentang bagaimana dana CPF hendak diuruskan.

Ini kerana, seperti yang dinyatakan Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan Chuan-Jin, sendiri bahawa wang dalam akaun CPF kita adalah wang kita.

Takkanlah kita hendak buat bodoh atau "buat dak" sahaja. Jadi, kita perlulah diberi ruang memberi pandangan dan maklum balas asalkan ia membina.

Yang jelas, perdebatan tentang isu CPF ini bukanlah suatu yang sia-sia belaka. Ia ada hikmahnya.

Berikut adalah tiga pengajaran penting yang boleh ditimba. Pendidikan awam perlu diutamakan Rata-rata keprihatinan awam tentang CPF berkisar kepada dua perkara utama.

Pertama adalah kebimbangan bahawa kenaikan Jumlah Minimum dan Usia Pengeluaran (DDA) akan mengurangkan jumlah dan melengahkan tempoh dana CPF yang boleh digunakan bagi persaraan.

Kedua adalah tanggapan bahawa kadar pulangan CPF adalah tidak memadai berbanding dengan kadar pulangan pelaburan pemerintah.

Keprihatinan tentang Jumlah Minimum timbul setelah berita tersiar bahawa ia akan dinaikkan daripada $148,000 kepada $155,000 mulai 1 Julai ini.

Sebenarnya, perubahan kali ini adalah sebahagian daripada siri semakan yang telah pun diumumkan pada 2003. Antara lain, perubahan itu mengambil kira kenaikan dalam kadar inflasi dan jangkaan semakin tinggi rakyat Singapura tentang keperluan asas persaraan.

Namun, tidak ramai yang sedar bahawa pemerintah sudah pun mengumumkan perubahan itu awal-awal lagi.

Lantaran itu, timbul tanggapan bahawa perubahan ini adalah suatu yang baru dan sengaja dibuat bagi "mengunci" simpanan rakyat.

Jadi, pihak berkuasa kenalah giatkan jentera komunikasinya meningkatkan kesedaran awam tentang perubahan kepada skim CPF dan membuat peringatan dari masa ke masa.

Sebaiknya, pengumuman dan peringatan ini dilakukan dalam keempat-empat bahasa rasmi.

Satu saranan yang boleh ditimbangkan ialah menyertakan terjemahan tentang butiran skim CPF atau sekurang-kurangnya ruangan Soalan Yang Kerap Ditanya (FAQ) dalam laman rasmi lembaga itu.

Ini penting demi mengelakkan berulangnya kekecohan apabila Jumlah Minimum dinaikkan sekali lagi pada Julai tahun depan.

Teruskan rundingan awam

Yang jelas, skim CPF masih boleh diperhalusi lagi. Hakikat ini diakui sendiri oleh pemerintah.

Dalam ucapannya sempena pembukaan sesi kedua parlimen baru-baru ini, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berkata pemerintah sedang mengkaji cara memperbaiki skim CPF and CPF Life sejajar dengan perubahan dalam kos sara hidup.

Dalam sidang yang sama, beberapa Anggota Parlimen (AP) turut memberikan beberapa saranan membaiki skim itu.

Misalnya, AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad, menyarankan pembentukan sebuah pelan pelaburan disokong pemerintah yang menawarkan kadar faedah lebih tinggi dan mengambil kira kadar inflasi.

Saranan lain termasuklah memberi lebih banyak pilihan dan kelonggaran dalam mengeluarkan simpanan CPF berdasarkan keperluan seseorang.

Saranan-saranan seperti ini wajar dipertimbangkan dalam semakan yang sedang dijalankan pemerintah.

Di samping itu, orang ramai juga boleh digalakkan memberi maklum balas dan pandangan menerusi rundingan awam.

Proses rundingan awam ini amat berguna dalam semakan CPF ini.

Secara tidak langsung, proses rundingan ini boleh membantu meningkatkan kesedaran dan sokongan awam terhadap sebarang perubahan CPF yang bakal diperkenalkan kelak.

Pentingnya perancangan kewangan dan persaraan Perbincangan awam tentang CPF telah menimbulkan satu isu pokok - memastikan warga Singapura mempunyai persediaan yang mencukupi bagi persaraan mereka.

Hakikatnya, CPF bukanlah satu-satunya wadah bagi memenuhi matlamat ini walaupun ia merupakan bahagian yang penting.

Yang jelas, CPF hanya membentuk persediaan yang asas bagi persaraan.

Anda perlu melengkapinya dengan persediaan lain seperti simpanan dan pelaburan jika ingin mengekalkan taraf hidup yang biasa dinikmati semasa masih bekerja.

Tahap keselesaan sebegini memerlukan perancangan awal. Namun, tidak ramai yang mempunyai wawasan, pengetahuan ataupun kelebihan sebegini.

Lantaran itu, pendidikan awam tentang peri penting perancangan kewangan dan persaraan wajar dipertingkatkan.

Usaha ini boleh dimulakan pada peringkat sekolah lagi.

Dalam hal ini, kita tidak mampu gagal kerana persiapan persaraan yang lemah boleh meninggalkan implikasi terhadap keutuhan jaringan keselamatan sosial dan perpaduan masyarakat pada masa depan.

Hakikatnya, jika seseorang tidak mampu menanggung kos persaraannya atas sebab-sebab tertentu, bebannya akan perlu dipikul pembayar cukai yang lain pada akhirnya.

Pucuk pangkalnya, skim CPF telah terbukti berkesan dalam memenuhi keperluan perumahan, kesihatan dan persaraan warga setempat sejak sekian lama.

Dalam skim simpanan yang sejagat seperti ini, semestinya, sebarang perubahan tidak akan memuaskan semua pihak.

Namun demikian, usahlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.