A Singapore press holdings portal

Singapore

Ervina Mohd Jamil
Berita Harian
Tuesday, Aug 26, 2014

Singapore

Lebih banyak acara, lebih dekat masyarakat

Berita Harian | Ervina Mohd Jamil | Tuesday, Aug 26, 2014

Encik Zaqy Mohamad

MASYARAKAT, khususnya orang Melayu, tidak perlu melangkah jauh untuk menikmati lebih 77 aneka acara sempena Bulan Bahasa tahun ini.

Ini sejajar dengan kempen tahun ini - menggalak penggunaan bahasa Melayu dan mendekati lebih ramai penduduk Singapura di estet perumahan.

Antara lain, orang ramai boleh menyertai pelbagai kegiatan di estet perumahan Tampines dan Taman Jurong, yang termasuk menggalak penggunaan bahasa Melayu menerusi seni, kegiatan harian seperti makan dan permainan tradisional.

Pengerusi Bulan Bahasa 2014, Encik Zaqy Mohamad, berkata kempen Bulan Bahasa tahun ini - yang akan dilancarkan di Muzium Tamadun Asia (ACM) pada 6 September ini - ingin memperluas jangkauannya dari segi skala dan bilangan rakan kerja serta peserta.

"Ini kali pertama kami mengadakan acara unggul di estet perumahan, terutama sekali di Tampines dan Taman Jurong.

"Pada tahun-tahun lalu, kami mempunyai acara unggul hanya di kawasan tengah Singapura. "Saya harap kita dapat terus membawa acara Bulan Bahasa yang lebih gah ke estet perumahan juga," kata Encik Zaqy, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, dalam satu sidang media mengenai Bulan Bahasa di Muzium Peranakan di Armenian Street semalam.

Jumlah acara kempen tahun ini lebih banyak daripada 60 pada tahun lalu.

Antara acara menarik ialah pameran di Our Museum@Taman Jurong, yang menunjukkan cara seorang penggiat seni kontemporari, Encik Shah Rizzal, menggunakan bahasa visual bagi memaparkan hubungan antara seorang penduduk dengan sekitarannya yang berubah mengikut peredaran zaman.

Kumpulan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) GRC Tampines pula akan menganjurkan Kampung Bahasa dan Budaya, merangkumi sembilan acara sempena Bulan Bahasa di lima kelab masyarakat di Tampines.

Ia bertujuan menggalak penggunaan bahasa Melayu menerusi tarian, lagu, makanan, permainan tradisional dan sebagainya.

Dalam sidang media itu juga Encik Zaqy turut memperkenal tiga Duta Bahasa baru - Dr Elly Sabrina Ismail; Cik Asnida Daud, seorang guru yang juga penggiat seni; dan Encik Zaibaktian Abu Bakar, penyanyi yang juga penggubah lagu.

Encik Zaqy juga berkata pihak yang tampil menjayakan Bulan Bahasa tahun ini turut bertambah kepada 65, daripada 50 tahun lalu.

Ini termasuk rakan kerja baru seperti Sekolah Sains dan Teknologi (SST).

Orang ramai yang berminat mengetahui lebih lanjut tentang Bulan Bahasa 2014 boleh melayari https://mbms.sg, Facebook MBMS atau aplikasi Gerbang Bahasa yang boleh dimuat turun menerusi iTunes dan Google Play.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.