A Singapore press holdings portal

Singapore

Ervina Mohd Jamil
Berita Harian
Thursday, Sep 4, 2014

Singapore

Mesej 'Saya ambil berat...' bawa rahmat kepada semua

Berita Harian | Ervina Mohd Jamil | Thursday, Sep 4, 2014

SEKITAR 100 relawan masjid akan berkunjung ke beberapa tempat, seperti pusat beli-belah dan pasar, di kawasan Jurong dan Choa Chu Kang lusa bagi menggalak orang ramai bersikap ambil berat.

Para belia dan Muslimah itu akan membawa poster tertera ayat 'I Care... (Saya mengambil berat...)' dalam bahasa Inggeris dan orang ramai akan digalak melengkapkannya. Contohnya, mereka boleh menulis 'I Care about humanity.' (Saya mengambil berat tentang kemanusiaan.) atau 'I Care because I want to help others.' (Saya mengambil berat sebab saya ingin membantu orang lain.).

Gambar mereka kemudian akan dimuat naik di laman Facebook Icare.sg bagi menyebarkan mesej rahmat.

Kempen I Care itu antara usaha Kelompok Masjid Barat Daya (SWMC) sempena Bulan Rahmatan Lil Alamin (RLA), yang bertema Semangat Kasih Sayang - Kesihatan, Keharmonian dan Keluarga, mulai lusa.

Dalam satu sidang media Bulan RLA semalam, Pengurus Besar SWMC, Encik Abdul Rahman Bakar, berkata laman Facebook Icare.sg telah meraih hampir 1,000 'like' meskipun baru ditubuhkan dua minggu lalu.

"Menerusi wadah ini, kami ingin menyebarkan mesej I care, atau semangat prihatin dan ambil berat akan orang di sekeliling, tidak kira bangsa atau agama," katanya.

Selain SWMC, lima lagi kelompok masjid - Timur Laut (NEMC), Tengah Selatan (CSMC), Barat Laut (NWMC), Tengah Utara (CNMC) dan Tenggara (SEMC) - akan mengadakan pelbagai kegiatan bagi memupuk dalam kalangan masyarakat Islam budaya berbuat baik dan menunjukkan ihsan kepada semua orang tanpa mengira bangsa atau agama sempena Bulan RLA.

Dianjurkan Jawatankuasa RLA, yang dianggotai pengerusi 68 masjid, Bulan RLA akan berakhir dengan Hari RLA pada 28 September.

Acara anjuran CNMC itu akan dihadiri Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan Chuan-Jin, selaku tetamu terhormat, dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Di acara itu, relawan masjid, badan masyarakat, kumpulan agama dan institusi pendidikan akan menyertai penghuni Rumah Penjagaan Ren Ci, pesakit ginjal dan keluarga penerima bantuan zakat berjalan beramai-ramai di Kebun Bunga Singapura.

Mereka kemudian akan dibawa ke Masjid Ba'alwie bagi menyaksikan pelbagai projek yang dianjurkan sepanjang Bulan RLA serta sumbangan Yayasan RLA terhadap usaha bantuan kemanusiaan di seluruh dunia, termasuk Gaza.

Pengerusi Jawatankuasa RLA, Encik Paiman Supangat, berharap semangat menunjukkan ihsan kepada semua orang, termasuk masyarakat bukan Islam, dapat dihidupkan sebagai budaya dalam hidup masyarakat Islam tempatan menerusi acara sempena Bulan RLA.

"Dengan keadaan sekarang dan masalah sedunia, terdapat banyak pandangan negatif tentang masyarakat Islam.

"Inilah peluang kita sama-sama menunjukkan bahawa masyarakat Islam bukan seperti apa yang mereka katakan, sebaliknya sebuah masyarakat yang ingin bekerjasama dan beri kebaikan kepada semua yang memerlukan bantuan," kata Encik Paiman.

Ini kali kedua Bulan RLA diadakan sejak tahun lalu dan kali ketujuh Hari RLA diadakan sejak 2008.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.