A Singapore press holdings portal

Singapore

Nur Adilah Mahbob
Berita Harian
Saturday, Aug 30, 2014

Singapore

Perintis kurang upaya lebih mudah dapat bantuan

Berita Harian | Nur Adilah Mahbob | Saturday, Aug 30, 2014

Speaker Parlimen Cik Halimah Yacob.

Cik Jamila Abdul Kadir menjaga suaminya, Encik Abu Bakar Tik, yang terlantar di katil sejak dua tahun lalu.

Suaminya, 82 tahun, sebenarnya layak bagi Skim Bantuan Kurang Upaya Perintis atau Pioneer Das, yang memberi $1,200 setiap tahun atau $100 sebulan, bagi warga perintis yang kurang upaya.

Namun, mereka perlu terlebih dahulu menjalani pemeriksaan fungsi sebelum layak menerima bantuan di bawah skim itu.

Kini, lebih mudah bagi Cik Jamila, 71 tahun, mendapatkan bantuan bagi suaminya, yang tidak boleh berjalan setelah diserang penyakit dua tahun lalu.

Semalam, seorang karyawan kesihatan telah ke flat beliau dan menjalankan pemeriksaan fungsi itu secara percuma, sebelum melayakkan Encik Abu Bakar bagi skim tersebut.

"Cik bersyukur dapat bantuan ini. Lagipun macam mana Cik nak keluar dengan keadaan pak cik macam ini," ujar Cik Jamila.

Beliau dan suaminya tinggal bersama cucu mereka, Encik Mohd Faizal Mohd Fazdillah, 33 tahun, di sebuah flat tiga bilik di Bukit Batok East.

Pioneer Das ialah skim nasional di bawah Pakej Generasi Perintis.

Namun, programme pemeriksaan fungsi secara percuma bagi warga perintis telah dimulakan untuk penduduk Bukit Batok East oleh Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob, Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong.

"Usaha ini bertujuan memastikan mereka yang memerlukan bantuan benar-benar dapat memanfaatkan skim ini. Apabila saya mengadakan lawatan rumah ke rumah atau sesi bertemu penduduk, ada penduduk yang keliru atau tidak pasti mengenai skim itu," ujar Cik Halimah.

Ada yang juga tidak mampu menjalani pemeriksaan fungsi yang kosnya adalah sekitar $35 hingga $45, kata Cik Halimah.

Penduduk warga tua yang lemah dan kurang upaya menjalani pemeriksaan fungsi di Kelab Masyarakat Bukit Batok semalam, untuk menilai sejauh mana mereka berupaya melakukan kegiatan asas harian seperti pergi ke tandas, menukar baju dan makan.

Tiga karyawan kesihatan - seorang doktor, seorang ahli fisioterapi dan seorang jurupulih pekerjaan (occupational therapist) - dari Jurong Health menjalankan pemeriksaan itu di kelab masyarakat tersebut semalam.

Mereka turut mengadakan lawatan rumah ke rumah untuk memeriksa penduduk warga tua yang terlantar di katil.

Kesemuanya, seramai 30 warga emas menjalani pemeriksaan tersebut semalam, dan rata-rata layak bagi skim Pioneer Das itu.

Pemeriksaan fungsi itu juga boleh digunakan bagi mendapatkan satu lagi skim Geran Pembantu Rumah Asing yang memberi geran bulanan sebanyak $120. Geran itu bertujuan membantu keluarga yang memerlukan khidmat pembantu rumah menjaga orang tua yang lemah atau kurang upaya.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.