A Singapore press holdings portal

Singapore

Berita Harian
Sunday, Jul 20, 2014

Singapore

Perlu pelan perlindungan bersepadu?

Berita Harian | Sunday, Jul 20, 2014

Khuatir tentang perbelanjaan tambahan yang perlu ditanggung golongan berpendapatan rendah dengan membeli pelan bersepadu (IP).

Ada orang Melayu berpendapatan rendah membeli pelan perlindungan bersepadu (IP) sebagai insurans tambahan kepada MediShield bagi mendapat rawatan di wad kelas lebih tinggi atau di hospital privet.

Ini menimbulkan keprihatinan Setiausaha Parlimen (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang khuatir tentang perbelanjaan tambahan yang perlu ditanggung mereka.

"Kami mendapat maklum balas bahawa terdapat sebahagian masyarakat Melayu daripada golongan berpendapatan rendah yang membeli IP dan perlu membayar premium tinggi.

"IP bukan pelan asas di bawah MediShield. Ia keputusan peribadi yang mereka ambil demi mendapatkan perlindungan tambahan, sama ada kerana mereka tidak memahami apakah IP ini atau memang mereka ikhlas mahu melindungi anggota keluarga mereka," Dr Faishal semasa diwawancara mengenai MediShield Hayat baru-baru ini.

Walau apa jua sebab alasan mereka, Dr Faishal, yang juga pengerusi Pelan Induk Hidup Sihat (HLMP), melahirkan kekhuatirannya berhubung perbelanjaan tambahan mereka itu.

Beliau melihat MediShield Hayat sebagai wadah pembuka perbincangan mengenai perkara ini.

"Kita mencintai keluarga kita dan pastinya mahu menjaga mereka. Maka itu, kita mahu memberi perlindungan terbaik. Tetapi yang penting ialah terus mendidik masyarakat mengenai apa yang berguna untuk mereka.

"Apakah paras perlindungan yang mereka perlukan bagi membolehkan mereka membeli insurans kesihatan yang memenuhi keperluan mereka? Saya berpendapat MediShield Hayat sekarang menyediakan wadah untuk kita sama-sama bincangkan tentang insurans kesihatan ini," ujar Dr Faishal.

Menurut beliau, sama seperti masyarakat lain, pemahaman orang Melayu mengenai insurans kesihatan agak rendah. Oleh itu, ramai orang Melayu sekadar bergantung pada apa yang diketengahkan ejen insurans mereka.

Beliau berkata golongan berpendapat rendah mungkin perlu terlebih dahulu memberi keutamaan pada pendidikan anak-anak, perumahan dan sebagainya.

Apatah lagi skim insurans nasional seperti MediShield Hayat kelak turut memberi subsidi kepada golongan berpendapatan rendah. Premium IP yang tinggi, sebaliknya, boleh menjadi beban tambahan kepada mereka memandangkan premiumnya akan terus bertambah dengan peningkatan usia.

"Apakah memang perlu berada di wad hospital kelas atas atau dirawat di hospital privet? Atau MediShield Hayat sudah mencukupi?

"MediShield Hayat, yang turut melindungi warga Singapura yang mempunyai penyakit sedia ada, adalah sesuatu yang amat dialu-alukan kerana ia memberi ketenangan fikiran.

"Seperti ramai sedia maklum, banyak orang Melayu mengalami penyakit kronik, dan sebelum ini bimbang tentang kos perubatan mereka.

"Dengan adanya MediShield Hayat sebagai jaringan keselamatan sosial, dengan adanya Pelan Induk Hidup Sihat yang menyediakan prasarana ke arah gaya hidup sihat, menggalakkan pemakanan sihat dan sebagainya, ia harus dilihat daripada satu perspektif menyeluruh.

"Saya rasa masyarakat kita harus merebut peluang mengikut arus gelombang ini ke arah kesihatan lebih baik. Ini seharusnya menjadi laluan perjalanan masyarakat kita," tambah Dr Faishal, yang gembira melihat semakin ramai orang Melayu kini giat hidup aktif dan prihatin soal kesihatan.

No comments yet.
Be the first to post comment.