A Singapore press holdings portal

Singapore

Nazry Mokhtar
Berita Harian
Monday, Aug 18, 2014

Singapore

Pilihan untuk keluarkan sejumlah CPF pada usia 65

Berita Harian | Nazry Mokhtar | Monday, Aug 18, 2014

SKIM Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan diperbaiki bagi menampung keperluan persaraan warga Singapura dengan lebih baik lagi.

Antara lain, Skim Sokongan Warga Emas akan diperkenalkan yang memberi bonus tahunan kepada warga berpendapatan rendah berusia 65 tahun ke atas untuk menampung perbelanjaan harian dan sara hidup.

Pencarum juga akan dibenarkan untuk mengeluarkan sebahagian simpanan CPF secara sepukal untuk tujuan persaraan.

Di samping itu, Skim Beli Balik Pajakan akan diperluas daripada flat tiga bilik kepada flat empat bilik untuk memberi warga lebih banyak pilihan memanfaatkan flat mereka semasa persaraan.

Mendedahkan demikian dalam Rapat Hari Kebangsaannya malam tadi, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, turut mengumumkan penbentukan sebuah panel penasihat untuk menjadikan Tabung CPF lebih fleksibel dan memberi rakyat lebih pilihan dalam menggunakan simpanan bagi tujuan persaraan.

Menurut Encik Lee, CPF dan dasar pemilikan rumah merupakan skim baik lagi berkesan untuk kebanyakan orang. "Ia bukanlah dasar yang dapat memenuhi semua keperluan, sebaliknya ia menawarkan pelbagai pilihan kepada pesara daripada pelbagai latar belakang.

"Bagaimanapun, kami sedang meningkatkannya, untuk menyokong warga tua berpendapatan rendah yang memerlukan lebih banyak bantuan, dan menjadikannya lebih fleksibel untuk semua warga Singapura. "Anda akan rasa lebih terjamin dan mempunyai lebih banyak pilihan dalam persaraan,'' ujar beliau.

Ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen, radio dan Internet itu merupakan rapat ke-11 Encik Lee sebagai Perdana Menteri.

Beliau memulakan detik penting dalam lipatan sejarah negara itu dengan melahirkan penghargaan kepada generasi perintis atas pengorbanan mereka dalam mengubah Singapura daripada status negara Dunia Ketiga kepada Pertama.

Penghargaan istimewa ditujukan kepada mantan Presiden Yusof Ishak yang menurut Encik Lee merupakan anggota generasi perintis cemerlang yang telah banyak berjasa kepada negara.

Turut hadir di rapat di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College Central di Ang Mo Kio itu ialah sekitar 50 warga emas yang diundang khas bagi mewakili lebih 450,000 warga perinstis di sini.

Ini merupakan kali kedua institut itu dipilih bagi lokasi rapat sebagai menandakan tumpuan Encik Lee terhadap pendidikan khususnya bagi pelajar ITE dan politeknik dalam rapat kali ini. Rapat tahun lalu turut diadakan di tempat yang sama. Dalam rapat sekitar dua jam setengah itu, Encik Lee turut menarik perhatian tentang perubahan sejagat dan setempat yang meletakkan Singapura di ambang perubahan.

Perubahan itu, katanya, memerlukan Singapura untuk melakar satu cara baru ke hadapan, dengan setiap rakyat diberi peluang mengasah potensi dan memberi yang terbaik dalam apa jua yang dilakukan.

Haluan baru itu juga menekankan peri penting peranan pemerintah dan masyarakat dalam menyokong usaha individu.

Sejajar dengan usaha membentuk potensi rakyat, Encik Lee turut mengumumkan pembentukan sebuah panel yang diterajui Timbalan Perdana Menteri Encik Tharman Shanmugaratnam untuk membangun sistem pendidikan, latihan dan kerjaya yang bersepadu.

"Dengan sokongan yang wajar di tempat kerja, sama ada anda seorang siswazah atau tidak, anda boleh maju dalam kerjaya anda. Inilah perubahan budaya yang kita inginkan,'' kata beliau.

Sehubungan itu, Pentadbiran Awam akan memberi lebih banyak penekanan kepada kelakonan kerja dan kemahiran relevan daripada kelayakan permulaan. Kakitangan bukan siswazah juga boleh menjangka kenaikan pangkat lebih cepat ke tahap siswazah jika mereka membuktikan keupayaan.

Mengakhiri rapatnya, Encik Lee turut membentangkan beberapa lagi langkah untuk menjadikan Singapura kediaman idaman terbaik.

Ini termasuklah rancangan menubuhkan Pejabat Perkhidmatan Perbandaran untuk menyelaras tugas pelbagai agensi dan membangunkan Taman Tasik Jurong dan sebuah Pusat Sains baru.

"Kita boleh lakukan ini dan banyak lagi agar Singapura kekal istimewa. "Namun, yang penting bukanlah apa yang kita bina, tetapi semangat insan, yang memaparkan kesungguhan dan kecekalan seperti yang ditonjolkan generasi perintis.

"Menetapkan matlamat yang tinggi dan sedia bergerak ke hadapan, seperti yang dipamerkan warga muda kita, dan menyumbang dalam cara besar atau kecil mana pun kepada Singapura, apa juga kedudukan kita dalam kehidupan,'' kata beliau.

nazry@sph.com.sg


Get The Business Times for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.