A Singapore press holdings portal

Singapore

Nur Dhuha Esoof
Berita Harian
Friday, Sep 26, 2014

Singapore

Pusat spesialis antara 'jantung hati' jagaan kesihatan

Berita Harian | Nur Dhuha Esoof | Friday, Sep 26, 2014

BERTANYA KHABAR: PM Lee menziarahi Cik Jenet Kani Mohd Ibrahim dan beberapa pesakit lain di Unit Inap Sementara (SSU) di bangunan baru Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS) yang dibuka secara rasmi, semalam.

PUSAT spesialis, seperti Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS), adalah sebuah komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara.

Oleh itu, pusat-pusat sedemikian harus sentiasa dipertingkat agar dapat terus menawarkan penjagaan bermutu tinggi kepada pesakit yang memerlukan penjagaan khusus, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Dalam ucapannya di majlis pembukaan rasmi bangunan baru NHCS semalam, Encik Lee juga berkata warga Singapura dapat menikmati umur lebih panjang disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi, pendidikan, perumahan dan pemakanan lebih baik serta sistem penjagaan kesihatan yang baik dan cekap.

Namun, walaupun sistem penjagaan kesihatan kini sudah cukup baik, Encik Lee berkata "kita harus terus memperbaikinya dalam semua aspek".

Bangunan yang terletak bertentangan Blok 4 Hospital Besar Singapura (SGH) itu mula beroperasi Mac lalu dan sejauh ini telah merawat lebih 37,000 pesakit luar yang mengalami masalah jantung.

Pusat 12 tingkat itu antara lain dilengkapi tiga bilik pembedahan, 38 klinik pesakit luar dan sebuah Unit Inap Sementara (SSU). Unit itu menyediakan 24 katil bagi pesakit yang menjalani prosedur atau pembedahan siang. Ini membolehkan lebih banyak katil disediakan bagi pesakit yang mempunyai masalah jantung lebih teruk.

Encik Lee mengingatkan pusat spesialis tidak dimaksudkan merawat semua pesakit. "Jika semua pesakit mahu ke pusat spesialis, kita tidak akan dapat menampungnya. Pusat spesialis seperti NHCS ditubuhkan untuk kes rumit, agar mereka yang paling memerlukan rawatan rumit dan sofistikated dapat menerimanya," katanya.

Encik Lee menambah pusat spesialis juga adalah tapak latihan bagi generasi karyawan penjagaan kesihatan dan spesialis akan datang. Semasa meninjau NHCS untuk melihat kemudahan yang disediakan, Encik Lee bertanya khabar seorang pesakit, Cik Jenet Kani Mohd Ibrahim, yang sedang berehat di SSU selepas menjalani prosedur ringkas bagi jantungnya malam kelmarin.

"Encik Lee tanya tentang penyakit saya dan pembedahan yang saya lalui. Beliau juga berpesan kepada saya supaya menjaga diri dengan baik dan berehat bila pulang ke rumah," kata Cik Jenet, 68 tahun, yang mengalami masalah jantung sejak 20 tahun lalu.

Seorang lagi pesakit jantung yang ditemui di NHCS semalam ialah Cik Salina Mohamed So'ot, 36 tahun. Beliau telah berulang-alik ke NHCS sejak 2007 bagi mendapat rawatan penyakit cardiomyopathy (gangguan otot jantung) yang dialaminya sejak 2003.

Pada 2009, Cik Salina menjalani pembedahan memasang alat Heart Mate II bagi membantu jantungnya mengepam darah ke bahagian tubuhnya yang lain.

Pesakit jantung peringkat akhir itu kini ke NHCS sekali setiap bulan untuk menjalani pemeriksaan dan ujian darah.

"NHCS baru ini lebih besar dan luas. Namun ia agak mencabar kerana pesakit perlu berjalan agak jauh dari tempat ke tempat. Mujur klinik semua diletakkan di satu aras dan jika pesakit perlu ke beberapa klinik, mereka tidak perlu berjalan jauh," kata pembantu pentadbiran itu.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.