A Singapore press holdings portal

Singapore

Hasleen Bachik
Monday, Oct 20, 2014

Singapore

Ramai ingin bantu pulih banduan

The Straits Times | Hasleen Bachik | Monday, Oct 20, 2014

Penghuni Penjara Changi pembungkusan majalah di bengkel latihan kerja.

LEBIH ramai anggota masyarakat Melayu tampil menyertai Program Pendamping kelolaan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Daripada hanya 20 apabila programme itu dilancarkan pada 2010, jumlah pendamping Melayu kini dianggarkan sekitar 130 orang.

Peningkatan tersebut sekali gus mencerminkan sokongan masyarakat untuk sama-sama membantu dalam proses pemulihan golongan pesalah.

Demikian dinyatakan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, kepada Berita Harian (BH) dalam satu majlis Dialog Pendamping SPS dan jamuan tengah hari bagi menghargai kumpulan sukarelawan itu.

"Saya berasa teruja melihat masyarakat kita tampil memberikan sokongan kepada Program Pendamping SPS.

"Bertambahnya bilangan sukarelawan Melayu yang menjadi pendamping membuktikan bagaimana setiap daripada kita memainkan peranan penting dalam membangun masyarakat dengan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk hidup, bekerja dan bermain.

"Dengan memberikan sokongan dalam usaha ini, secara langsung kita turut membantu golongan pesalah untuk pulih semula dan kembali ke pangkuan masyarakat dengan jayanya sejurus selepas mereka dibebaskan," ujar Encik Masagos.

Salah seorang daripada 80 pendamping yang hadir di majlis di Kelab Akar Umbi Yio Chu Kang itu kelmarin ialah Encik Sarisah Jaffar, yang telah menjadi Pendamping SPS sejak tiga tahun lalu.

"Sebahagian mereka tidak mempunyai anggota keluarga yang percaya bahawa mereka boleh berubah, jadi mereka bergantung pada kami untuk memberi sokongan.

"Memang pesalah bertanggungjawab ke atas kehidupan mereka sendiri, tetapi sekali-sekala mereka memerlukan sedikit dorongan daripada kita bagi memastikan mereka tetap berada di landasan yang betul," kata beliau, yang menjadi mentor kepada beberapa pesalah.

Program Pendamping SPS itu secara keseluruhannya, ujar Encik Masagos, sedang "bergerak ke arah yang tepat".

Bermula dengan hanya 40 pendamping, ia kini mempunyai lebih 230 sukarelawan yang memberikan nasihat dan sokongan emosi bagi membantu golongan pesalah kembali ke pangkuan masyarakat.

Ini, tambah beliau, adalah satu peningkatan sebanyak enam kali ganda. Tahun lalu, SPS turut mendekati beberapa divisyen akar umbi untuk menyertai programme tersebut.

Sambutannya menggalakkan dengan divisyen Tampines, Taman Jurong dan Admiralty menunjukkan sokongan padu pada programme itu.

Lebih banyak divisyen turut melahirkan minat, kata Encik Masagos, dan mereka bakal menghantar sukarelawan masing-masing menjalani latihan dalam masa beberapa bulan ini.

Sejauh ini, lebih 400 pesalah telah dibantu di bawah programme tersebut.

Penolong Pengarah Kanan, Cabang Masyarakat dan Penglibatan Keluarga SPS, Encik Umardani Umle, berkata pihak penjara amat menghargai komitmen pendamping SPS ini dan akan terus bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan sistem sokongan berstruktur bagi pesalah.


Get a copy of The Straits Times or go to straitstimes.com for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.