A Singapore press holdings portal

Singapore

Adli Yashir Kuchit
Berita Harian
Monday, Oct 13, 2014

Singapore

Sindiket cari 'orang tengah' ubah wang

Berita Harian | Adli Yashir Kuchit | Monday, Oct 13, 2014

TREND kegiatan mengubah wang terlarang di sini telah meningkat lebih seganda, daripada 18 kes yang didakwa dan didapati bersalah pada 2010 kepada 43 kes sepanjang tahun ini.

Perangkaan itu didedahkan Timbalan Pendakwaraya, Pejabat Peguam Negara (AGC), Encik Muhamad Imadudien Abdul Karim apabila diminta mengulas tentang trend mengubah wang terlarang masa kini.

Baru-baru ini, seorang warga Indonesia berusia 28 tahun dihukum penjara lima tahun kerana terlibat dalam kes mengubah wang terlarang berjumlah $2.7 juta.

Encik Imaduddien yang bertugas di Divisyen Jenayah Ekonomi dan Urus Tadbir, AGC berkata kegiatan mengubah wang terlarang adalah satu kesalahan yang serius namun tidak ramai yang menyedarinya.

"Jenayah mengubah wang terlarang melibatkan kegiatan 'membersihkan' wang yang diraih daripada hasil jenayah atau menyembunyikan sumber dana tersebut.

"Ia merupakan jenayah serius kerana kegiatan itu menyembunyikan kegiatan terlarang dan boleh menggugat sistem kewangan kita."

"Dana yang digubah juga boleh digunakan kumpulan pengganas untuk membiayai operasi ganas mereka dan perbuatan sedemikian boleh menjejas keselamatan negara," kata beliau yang bertanggungjawab membawa penjenayah kewangan ke muka pengadilan. Kegiatan mengubah wang terlarang lazimnya melibatkan rangkaian yang rumit lagi rentas sempadan.

Penjenayah menggunakan Internet untuk menyembunyikan diri dan hasil yang diraih daripada jenayah.

Faktor-faktor sedemikian menjadikan siasatan amat sukar. Sindiket juga menggunakan pelbagai lapisan individu untuk memindahkan wang kata Encik Imaduddien.

Mendedahkan perangkaan kes di mana penjenayah telah didakwa dan didapati bersalah beliau berkata kejadian melibatkan individu yang memindahkan wang semakin meningkat.

Pada 2010 terdapat 18 kes yang disabit kesalahan, pada tahun lalu jumlahnya telah meningkat kepada 39.

Sepanjang tahun ini pula sebanyak 43 kes telah di bawa ke muka pengadilan dan disabit kesalahan. Satu trend yang dikesan ialah kes melibatkan 'cinta siber' di mana mangsa dipujuk untuk membantu memindahkan wang oleh 'kekasih' yang dikenali menerusi Internet.

`"Lazimnya, penjenayah akan memasukkan wang ke akaun bank mangsa dan menyuruh mangsa memindahkan wang itu ke akaun lain secara elektronik atau mengeluarkan wang itu dari akaun bank mangsa dan menyerahkannya kepada wakil anggota sindiket.

"Mangsa juga sering dijanjikan komisyen yang lumayan setelah melaksanakan pemindahan itu," kata Encik Imadudien.

Beliau menerangkan, mereka yang setuju menerima wang menerusi cara sedemikian boleh didakwa dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara lima tahun dan/atau didenda.

Andainya seseorang itu bersetuju menerima wang dan seterusnya memindahkan wang ke akaun lain, menyerahkan wang itu kepada orang lain, atau menggunakan dana tersebut, orang itu juga boleh didakwa.

Perbuatan sedemikian kata Encik Imaduddien merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 47 Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius lain (Rampasan Hasil). Pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan atau denda sehingga $500,000.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati apabila berkenalan di ruang siber. Penjenayah boleh berselindung disebalik identiti palsu.

Beliau berharap warga akan berasa curiga apabila seseorang yang baru dikenali minta bantuan untuk memindahkan wang kepada orang lain.

"Kita harus tanya diri kita kenapa wang itu tidak dipindahkan secara langsung ke penerimanya, kenapa perlu kita jadi orang tengah, kita juga perlu curiga apabila kita dibenarkan untuk menyimpan sebahagian daripada dana tersebut," kata beliau.

adli@sph.com.sg

 

No comments yet.
Be the first to post comment.