A Singapore press holdings portal

Singapore

Nur Adilah Mahbob
Berita Harian
Monday, Aug 25, 2014

Singapore

Sumbang idea bangun negara

Berita Harian | Nur Adilah Mahbob | Monday, Aug 25, 2014

DR YAACOB: Ada saranan agar ditingkatkan keupayaan belia, dengan itu mereka dapat merebut peluang di masa depan.

BELIA Melayu akan berpeluang menyumbang idea bagi membangun Singapura sedang negara ini mengadakan sambutan ulang tahun ke-50 tahun depan (SG50).

Jawatankuasa yang menyelaras projek masyarakat Melayu/Islam bagi SG50 itu akan meninjau peluang bagi belia memainkan peranan aktif dalam membangun negara.

Ini dinyatakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, yang ditemui media selepas sesi dialogue tertutup pascarapat Hari Kebangsaan bersama pemimpin akar umbi Melayu.

Merumuskan dialogue itu, Dr Yaacob berkata ada saranan daripada peserta dialogue supaya ditingkatkan keupayaan belia agar mereka dapat merebut peluang di masa depan. "Melalui belia, kita boleh mengambil peluang itu bagi menjadi masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan negara," ujarnya.

Jawatankuasa Penyelaras SG50 yang diterajui Haji Sallim Abdul Kadir akan meninjau cara-cara memberi peluang kepada belia mengetengahkan idea mereka dan melaksanakan programme yang memberi manfaat di peringkat nasional.

Pembentukan jawatankuasa itu diumumkan Dr Yaacob dalam ucapannya di majlis perjumpaan Hari Raya awal bulan ini.

Dialog semalam dianjurkan Majlis Penyelaras Kumpulan-Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

Peserta dialogue, yang terdiri daripada pemimpin akar umbi Melayu/- Islam, mengajukan soalan kepada anggota panel yang terdiri daripada Dr Yaacob dan beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu lain, termasuk Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob (GRC Jurong); Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Pertahanan), Dr Mohamad Maliki Osman (GRC East Coast); Encik Zaqy Mohamad (Chua Chu Kang); Encik Zainal Sapari (GRC Pasir Ris-Punggol) dan Dr Intan Azura Mokhtar (GRC Ang Mo Kio).

Mengulas skim Beli Balik Pajakan (LBS) yang turut mendapat perhatian peserta dialogue, Cik Halimah akur ramai dalam masyarakat Melayu/ Islam yang masih kurang jelas mengenai skim itu, yang bertujuan memberi pendapatan tetap kepada pemilik flat warga tua, sedang mereka terus tinggal di flat itu.

Ini dilakukan dengan menjual kembali sebahagian pajakan mereka kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Cik Halimah berkata jawatankuasa yang diterajui beliau untuk menerangkan Pakej Generasi Perintis dan MediShield Hayat akan turut mengambil peluang menjelaskan pilihan dalam persaraan.

"Kami perlu jelaskan perinciannya dan menangani keprihatinan mereka agar skim ini dapat menjadi satu pilihan mereka dalam persaraan," ujar Cik Halimah.

Antara lain, peserta dialogue turut menimbulkan isu ikon dalam masyarakat dan peluang bagi pekerja matang, bukan sahaja belia, meningkatkan diri di tempat kerja.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.