A Singapore press holdings portal

Singapore

Nur Adilah Mahbob
Berita Harian
Wednesday, Jul 2, 2014

Singapore

Warga akui premium MediShield Hayat ‘berbaloi’ tapi bimbang jika terus naik

Berita Harian | Nur Adilah Mahbob | Wednesday, Jul 2, 2014

KENAIKAN premium Medi- Shield Hayat berbaloi dan setimpal dengan manfaat skim insurans nasional yang diperluaskan, kata orang ramai yang diminta mengulas.

Bagaimanapun, ada warga Singapura prihatin kemungkinan premium itu dinaikkan selepas lima tahun dan kos perubatan mungkin terus meningkat, lebih-lebih lagi apabila semua warga dilindungi insurans kelak.

Seorag usahawan, Syed A.B., umpamanya, berkata MediShield Hayat adalah satu skim baik lebihlebih lagi manfaatnya kini dipertingkat.

Berbanding skim MediShield sekarang, katanya, jumlah perbelanjaan rawatan yang akan ditanggung MediShield Hayat lebih tinggi, manakala jumlah yang dibayar sendiri pesakit lebih rendah.

Namun, warga berumur 36 tahun itu meluahkan keprihatinan mengenai kesan insurans yang bersifat universal ke atas kos perubatan.

"Apakah dengan adanya insurans seperti ini institusi penjagaan kesihatan seperti hospital akan menaikkan bayaran mereka?" ujarnya.

Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) menerima laporan penuh dan saranan yang dibentangkan Jawatankuasa Semakan Medi- Shield Hayat.

Semua warga, tidak kira keadaan kesihatan dan usia, bakal disertakan dalam MediShield Hayat seumur hidup mereka apabila skim itu dilaksana hujung tahun depan.

Sehari selepas laporan itu keluar, Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, mengulas mengenai keprihatinan tentang kos penjagaan kesihatan.

"Dengan insurans yang dipertingkat, penting memastikan kos penjagaan kesihatan secara keseluruhannya diurus dengan baik," kata Encik Gan.

MOH turut mengumumkan premium MediShield Hayat yang perlu dibayar warga Singapura dan sokongan pemerintah berjumlah $4 bilion sepanjang lima tahun bagi membantu warga Singapura membiayai premium skim tersebut.

Pemerintah berkata premium itu akan dimampui warga Singapura yang kebanyakannya akan membayarnya menerusi akaun Medisave mereka.

Encik Gan juga berkata kadar premium kekal selama lima tahun pertama.

Namun, masih ada yang risau tentang kemampuan mereka membayarnya, terutama selepas lima tahun pertama.

Contohnya seorang bekas pesakit barah, Cik Kalsom Abdullah, 57 tahun, yang tidak bekerja kerana menjaga suami yang menghidap penyakit ginjal dan perlu membayar sekurang-kurangnya $30 sebulan untuk dirinya sendiri apabila Medi- Shield bermula tahun depan.

Malah, beliau mungkin perlu membayar 30 peratus lebih tinggi kerana mempunyai penyakit sedia ada.

"$30 mungkin sedikit bagi orang lain tetapi bagi orang tidak bekerja seperti saya, ia agak berat," ujar Cik Kalsom.

MOH telah menyatakan bahawa warga yang tidak mampu membayar premium walaupun setelah diberi subsidi pemerintah boleh mendapat sokongan tambahan menerusi sebuah dana serupa Medifund.

Cik Kalsom berharap dana tersebut fleksibel agar warga yang tidak dianggap miskin tetapi menghadapi kesukaran membayar premium atas pelbagai sebab tetap dibantu.

Sementara itu, beberapa ejen insurans yang dihubungi berpendapat MediShield Hayat tidak akan menjejas permintaan bagi Pelan Perlindungan Bersepadu (IP).

Pelan yang ditawarkan syarikat insurans swasta itu mempunyai komponen asas MediShield dan komponen tambahan dengan manfaat yang diperluas, misalnya boleh tinggal di wad kelas B1, A atau hospital privet.

Ejen insurans, Encik Nasri Muhd Noor, 28 tahun, berpendapat IP akan kekal relevan kerana ia akan diubah suai bagi melengkapi Medi- Shield Hayat nanti.

Seorang lagi ejen insurans, Encik Aaron Yeoh, 35 tahun, berkata kebanyakan warga Singapura mengambil IP kerana ingin mempunyai pilihan memasuki kelas wad lebih tinggi.

Mereka yang mempunyai pelan itu juga boleh menjangka kenaikan premium tetapi Encik Gan berkata kenaikannya tidak akan melebihi kenaikan premium bagi skim asas, dan mungkin juga lebih rendah.

adilaham@sph.com.sg

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.