A Singapore press holdings portal

Singapore

Norhaiza Hashim
Berita Harian
Monday, Jul 21, 2014

Singapore

Yaacob: 2 cara Muslim S'pura boleh bantu isu Gaza

Berita Harian | Norhaiza Hashim | Monday, Jul 21, 2014

BANTU KURANGKAN BEBAN: Cik Masayang, yang cacat penglihatan, mendapat habuan tunai dan baucar daripada Darul Arqam semalam. Beliau sempat bercakap dengan Dr Yaacob, dan disaksikan dengan Encik Faiz (terlindung).

MENTERI Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berharap peperangan yang berlaku di Gaza dapat dihentikan dengan segera dan pihak Israel dan Hamas dapat berbincang untuk mencapai kedamaian yang diinginkan semua pihak di dunia.

Masyarakat Islam di Singapura akan terus membantu penduduk di Gaza dari segi bantuan kemanusiaan, serta terus berdoa agar keberkatan Ramadan akan membawa keamanan di Palestin.

"Pada masa ini, terdapat dua cara yang boleh dilakukan untuk membantu penduduk Gaza iaitu dengan menyediakan bantuan kemanusiaan. Alhamdulillah, kita telah dapat mengumpulkan wang (berikutan pungutan derma di masjid) dan menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan.

"Kedua, kita tidak mahu sesiapa pun menyertai konflik itu secara aktif walaupun ia merupakan sesuatu yang dekat dengan hati kita. Dengan keberkatan bulan Ramadan, kita berdoa agar mendapat kesejahteraan dan keamanan di Palestin, dan kita tahu inilah yang diharapkan semua lapisan masyarakat, bukan sahaja di Singapura, malah di seluruh dunia.

"Harapan kita ialah konflik itu dapat dihentikan secepat mungkin dan kedua-dua pihak boleh berbincang untuk mencapai kedamaian yang diinginkan,'' ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Zakat Ramadan anjuran Darul Arqam pagi semalam.

Muis dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin dan masjid di seluruh Singapura telah mengadakan kutipan derma bagi mangsa krisis kemanusiaan semasa solat Jumaat kelmarin.

Sementara itu, seramai 562 keluarga fakir dan miskin mendapat sejumlah $171,410 dalam majlis pengagihan zakat anjuran Darul Arqam semalam.

Setiap keluarga mendapat wang tunai bernilai $265 dan baucar NTUC FairPrice bernilai $40, menjadikan keseluruhan habuan bernilai $305. Wang tunai itu diperuntukkan daripada dana zakat, manakala baucar Fairprice pula daripada dana fidyah.

"Dengan keberkatan bulan Ramadan, kami berharap bantuan hasil pungutan dana zakat dan fidyah akan mengurangkan beban keluarga Islam yang memerlukan,'' kata Presiden Darul Arqam, Encik Muhd Faiz Edwin Ignatious.

Salah seorang penerima habuan itu ialah Cik Masayang A.Samad, 41 tahun, yang cacat penglihatan akibat kencing manis yang dihadapi pada usia 35 tahun.

"Duit ini akan saya gunakan untuk membayar sewa rumah, api air dan membayar kos yuran bagi kursus lanjutan dalam bidang kaunseling,'' kata wanita yang tidak bekerja itu tetapi mengambil kursus psikologi dan kaunseling.

norhaiza@sph.com.sg


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

No comments yet.
Be the first to post comment.